Muzium-Muzium Negeri Perak Darul Ridzuan
   
Pengenalan GSAS

Galeri Sultan Azlan Shah, sebuah Galeri yang indah dan menarik senibinanya dibangunkan setaraf yang terdapat di luar negara. Ini dizahirkan bermula dari cetusan pemikiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Muhibbudin Shah atas perkenan untuk dijadikan pengetahuan umum akan laluan perjalanan hidup Baginda. Galeri ini telah dirasmikan oleh Baginda sendiri pada 9 Disember 2003 sempena ulang tahun Perkahwinannya yang ke-48.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 13 Jun 2001 telah meluluskan penubuhan Galeri Sultan Azlan Shah bertempat di Istana Ulu, Kuala Kangsar. Jabatan Kerja Raya sebagai Penguasa Projek telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus pembinaan bangunan ini. Projek ini dimulakan pada 30 November 2001 dan telah siap sepenuhnya pada 15 April 2003.

Raja Azlan Shah memperlihatkan sifat kesungguhan dan ketekunan yang tinggi dalam usaha menguasai ilmu dan pengetahuan sejak memulakan alam persekolahan bermula dari Sekolah Melayu Batu Gajah, disusuli di Sekolah Inggeris Batu Gajah hingga memperoleh 'School Certificate' dengan keputusan cemerlang dalam mata pelajaran-mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Latin. Baginda seterusnya meneruskan persekolahan ke Tingkatan Enam di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Sewaktu di bangku sekolah, Baginda adalah seorang aktivis pelajar. Melalui PERMI, Baginda turut serta menyalakan obor perjuangan yang diasaskan oleh Aminuddin Baki menyedarkan betapa pentingnya ilmu dan pengetahuan dalam menentukan kemajuan dan martabat bangsa. Baginda memperlihatkan bakat kepimpinan terserlah hingga dilantik menjadi Ketua Murid di Sekolah Inggeris Batu Gajah dalam tahun 1948. Baginda juga adalah olahragawan, pelari pecut terpantas di era tersebut, mewakili sekolah dalam permainan kriket, bola sepak dan hoki, merupakan penyerang yang digeruni dalam sukan hoki ketika mewakili sekolah dan negeri Perak.

Raja Azlan Shah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di University of Nottingham dalam tahun 1953 dan setahun kemudian diterima sebagai 'Barrister-at-Law' di Lincoln Inn United Kingdom pada 23 November 1954.

Sekembali ke tanah air, Baginda dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Undang-undang adalah pilihan utama Baginda. Baginda memulakan perkhidmatan dalam perkhidmatan perundangan sebagai seorang majistret. Pada 7 November 1982, Baginda sampai ke puncak perkhidmatan perundangan negara apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Lebih 1000 kes telah dibicarakan oleh Baginda. Masyarakat amat mengenali Raja Azlan Shah sebagai seorang hakim yang jujur, berani, adil, tegas lagi bijaksana yang senantiasa berpegang kepada prinsip menegakkan keadilan dan kebenaran. Sesungguhnya Baginda berjaya membina imej perkhidmatan kehakiman yang dihormati baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Disamping menumpukan pemikiran dalam tugas kehakiman, Baginda turut memainkan peranan aktif dalam dunia pendidikan negara. Baginda diberikan penghormatan menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Pelajaran Tinggi dalam tahun 1974, menjadi Pro Canselor Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1971 hingga ke tahun 1984. Baginda pernah berperanan sebagai pemeriksa luar bagi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Malaya. Pada hari ini Baginda adalah Canselor Universiti Malaya.

Baginda adalah seorang pemimpin sukan berkaliber, memimpin Persekutuan Hoki Malaysia, sebagai Timbalan Presiden kepada Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn dan dilantik sebagai Presiden pada tahun 1981. Baginda juga adalah Presiden Persekutuan Hoki Asia dan Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa. Dalam tahun 1975, Baginda bertanggungjawab mengelolakan dengan cemerlang Kejohanan Hoki Dunia Ketiga, disamping menjadi tenaga utama kepada pasukan hoki negara hingga layak ke pertandingan separuh akhir dan mendapat tempat keempat dunia.

Sepanjang laluan hidup yang mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam setiap bidang yang Baginda melibatkan diri, Sultan Azlan Shah telah dikurniakan anugerah akademik oleh beberapa universiti dan bintang kehormatan oleh banyak negara baik dalam mahupun dari luar negara.

Warna-warna hidup indah terlukis di kanvas kehidupan Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah. Sesungguhnya laluan dan liku hidup yang begitu gemilang telah memberikan satu rasa kebanggaan kepada rakyat di negeri Perak Darul Ridzuan. bersultan seorang Raja yang nama dan jasa Baginda patut diukirkan dengan tinta emas.

Galeri ini adalah satu pendekatan terbaik untuk merakam laluan peristiwa yang telah Duli Tuanku cipta dan ukir supaya dapat diikuti dan dihayati oleh rakyat jelata. Galeri ini bukan sahaja dapat berfungsi sebagai sumber rujukan, malah membolehkan rakyat mengenali secara lebih mendalam seorang Raja yang berdaulat lagi dikasihi, hatta hingga ke peringkat dapat meningkatkan fahaman dan apresiasi rakyat terhadap Institusi Raja Berperlembagaan. Disamping itu, cerita-cerita kejayaan Baginda akan dapat dijadikan contoh teladan, menghidupkan inspirasi kepada rakyat keseluruhannya, bahawa seorang Sultan yang agung itu, perlu memiliki sifat-sifat murni lagi muia.

 

Galeri ini dibina dengan menekankan konsep seperti berikut:-

i Berfungsi sebagai pusat rujukan dan penyelidikan terutamanya dalam bidang perundangan
ii Galeri ini dibangunkan sebagai khazanah warisan yang unik dan menarik sepanjang zaman
iii Galeri ini diuruskan pentadbirannya mengikut pentadbiran galeri terkini, interaktif, dinamik dan mesra rakyat.

 

Bahan-bahan yang dipamerkan di Galeri ini boleh dibahagikan kepada perkara-perkara seperti di bawah:-

i Pertalian - salasilah Diraja
ii DYMM Sultan Azlan Shah sebagai tokoh
iii Istiadat pertabalan BYMM Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak
iv DYMM Sultan Azlan Shah sebagai Yang Dipertuan Agong ke-9
v DYMM Sultan Azlan Shah sebagai tokoh sukan
vi Koleksi peribadi DYMM Sultan Azlan Shah dan Permaisuri Tuanku Bainun
vii Koleksi Buku
viii Koleksi Cenderamata
ix DYMM Sultan Azlan Shah semasa alam persekolahan dan zaman remaja
x Alat-alat kebesaran Negeri Perak
xi Nobat dan peralatannya
xii Balairong Seri dalam bentuk Diorama
xiii Galeri Kereta

 

Galeri ini dibangunkan dengan menekankan elemen-elemen seperti berikut:-

i Pemuliharaan bangunan Istana Ulu untuk mengekalkan keunikan senibina sedia ada
ii Menaiktaraf bangunan sedia ada supaya mempunyai facade yang selari dengan bangunan Istana Ulu
iii Pembangunan seni taman yang membantu untuk mempertabatkan keunikan senibina
iv Pembangunan koleksi yang dipamerkan melibatkan kerja-kerja inventori dan pemuliharaan
v Rekabentuk hiasan dalaman yang melambangkan kegemilangan Istana Ulu dan setaraf dengan Istana yang sedia ada
vi Perkhidmatan-perkhidmatan seperti berikut bagi menentukan Galeri Diraja ini diurus dengan baik dan sempurna:-
 

- Sistem pencahayaan, elektrik dan sistem penggera
- Sistem hawa dingin dan kawalan kelembapan
- Sistem alat pandang dengar
- Sistem keselamatan bangunan
- Pintu masuk dan pagar
- Tempat letak kereta dan bas

Galeri ini akan diperkembangkan lagi dari segi kandungan dan kualiti bahan yang dipamerkan dan menjadi hasrat kerajaan negeri mengusahakan supaya Galeri ini diiktiraf sebagai sebuah pusat sumber dan pusat rujukan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.